14 June 2014

Love Story ( Part 3 )

Part 3

Hujan rintik menjadi tatapan mata. Seluruh alam bersorak riang. Hujan tandanya rahmat dari-Nya. Tangan kanan yang kugenggam bersama payung, aku alihkan ke kiri. Aku tutup payung tersebut dan punggungku labuhkan di bangku. Aku berkalih menunduk melihat baju di tubuhku. Basah! Lambat-lambat, bibirku menguntum senyuman kecil.
'Hujan lagi?' detik hati kecil ini.
Aku mendongak ke langit pula. Mujur aku dapat berteduh di pondok kecil ini, kalau tidak mahu seluruh tubuhku basah kuyup. Badan pun dah terasa sejuk semacam dan...
Hachumm!!
"Alamak...tak lama lagi selsemalah ni. Macam mana nak balik?"
Aku ketuk kepala sendiri. Itulah padahnya kalau berdegil. Kan sendiri dah kena. Aku kutuk diri sendiri. Menyesal juga tak dengar cakap Bilah tadi. Orang dah offer nak tumpang, tapi aku tetap nak naik bas. Ni semua gara-gara 'Jae Suk'! Jae Suk gelaran bagi kereta vivaku sekarang terpaksa dihantar ke bengkel untuk servis. Sekarang, nilah jadinya. Degil!
"Erfina Alya, kenapalah kau ni degil sangat? Dari dulu sampai sekarang tak pernah berubah. Keras kepala betul! Sebab tulah..." ayatku terhenti seketika. Mataku mula merasa kabur.
Ya Allah, kenapa aku boleh teringat akan dia? Kenapa baru hari ini kenangan lalu sering menjengah mimpi-mimpi malamku? Ya Allah, cukuplah Erfina...Tak perlulah kau ingat pada si dia. 
Sudah 5 tahun berlalu, kenapa baru sekarang bayangannya hadir kembali? Sejurus itu, laju saja air mataku jatuh ke pipi. Sebak bila teringat pada dia yang kupanggil Zuhairil.
Aku seka air mata dengan segera. Keluhan terluah jua.
"Tak guna fikir pasal dia lagi. Dia dah lenyap dalam hidup aku," aku berjeda sendiri. Mataku terpaku pada seorang gadis yang berteduh di bawah pokok tidak jauh dari pondok ini. Kemudian, mataku beralih memandang seorang jejaka yang menghampiri gadis tadi bersama payung di tangan. Selepas itu, kedua-duanya meredah hujan bersama di bawah payung yang sama. Sekali lagi, kenangan bersama Zuhairil menerjah mindaku.
"LAMBATnya dia bersiap," ujar Zuhairil tatkala dia menghampiriku. Suasana masjid Putrajaya kelihatan tenang walaupun hujan lebat di luar. Mataku menangkap sekaki payung yang dibawanya. Sejurus itu, satu senyuman manis aku hadiahkan pada dia.
"Mana ada lambat. Biasa je,"
Sesudah bersolat sebentar di Masjid Putrajaya, kami merancang untuk kembali ke rumah.
"Jom... hujan dah makin lebat ni. Kita balik sekarang."
"Bawa satu payung je?" soalku sebelum kami melangkah pergi.
"Sayang, kat dalam kereta saya hanya ada satu payung je. Tak apa, kita share," Lalu kami berlalu ke parkir bersama-sama. Mujur ada payung, kalau tidak pasti kedua-duanya basah kuyup.
JATUH lagi mutiara jernih ini bila mengingat kembali adengan dulu. Kali ini, aku biarkan saja mutiara-mutiara putih itu menggelongsori pipiku.
"Apa khabar dia sekarang? Kenapa hati ini tiba-tiba rasa rindu pula pada dia?" Aku terpempan, lantas menekup mulut sendiri. Apa yang aku rasa sekarang? Rindu? Patut ke rasa rindu itu hadir tatkala hubungan tersebut sudah terputus lama? Aku melepaskan keluh berat sekali lagi.
"IBU tahu kamu tak suka. Tapi kamu dah janji yang kamu akan turutkan permintaan ibu kalau sudah kamu mencapai umur 28 tahun dan tidak punya sesiapa, kamu akan terima pilihan ibu," Ibu mengingati kembali kata janji yang pernah aku lafazkan dulu. Aku menunduk sahaja. Tangan pula tidak berhenti mengupas kulit bawang. Mata aku pun dah mula nak berair dan turunlah air mata tanpa paksaan.
"Kamu dengar tak kata ibu ni?"
"Dengar. Fin tahu apa yang Fin patut buat, bu. Kalau Fin dah janji, maksudnya Fin akan tunaikan janji tu. Janji tetap janji," 
Ibu mengangguk berpuas hati.
"Kalau macam tu, minggu depan ibu akan siapkan mana-mana keperluan untuk majlis tu."
"Ikut suka ibulah. Fin ikut je,"
"Kamu tak nak jumpa menantu pilihan ibu tu ke?" Tanganku berhenti mengupas. Dengan nafas berat, aku hembuskan perlahan. Aku menatap wajah ibu dengan mata yang kembali kabur. Empangan mataku kini pecah jua. Ibu memandang wajahku dengan selamba. Pasti saja di fikirannya, mataku menangis gara-gara bawang tadi. Namun hakikatnya, hati ini yang mula merintih enggan menerima perkahwinan yang ditetapkan ini walau sudah lama aku suarakan janji tersebut.
"Ibu, kalau umur Fin sampai 28 tahun dan Fin tak bersama dengan sesiapapun, Fin akan ikut kata ibu, kahwin dengan pilihan ibu. Fin janji!" Itulah kata yang pernah aku ungkapkan. Seringkali ibu bertanya tentang teman lelakiku. Namun, aku tetap keseorangan setelah memutuskan hubungan dengan Zuhairil. Ah! Nama itu lagi. Tak pernah padam pun nama itu dalam hati ini. Ya Allah, semoga aku tabah melalui dugaan ini.
Aku menggeleng lemah dan kembali mengupas bawang. Aku seka air mata dengan lengan baju.
"Tak perlulah ibu. Fin tak nak nanti, Fin berubah hati pula. Jadi, ibu siapkan saja semua persiapannya. Fin hanya akan duduk atas pelamin, dan tunggu saja akad nikahnya nanti. Masa tu barulah Fin tatap muka bakal menantu ibu tu." Aku letakkan bawang yang sudah siap dikupas dan aku bawa ke sinki untuk dicuci. Setelah itu, aku biarkan saja bawang-bawang tadi di atas meja dan kakiku laju melangkah masuk ke bilik. Aku menutup pintu bilik dengan perlahan dan tubuhku sandar pada daun pintu. Perlahan-lahan, tubuhku rebah duduk di lantai. Aku menyebam muka pada lutut dan menangis semahunya.
"PENGANTIN lelaki dah sampai!"
Aku tersentak tatkala suara itu menerjah cuping telingaku. Aku pandang sekeliling. Wajah-wajah saudara-maraku tampak begitu bahagia dan gembira. Tetapi, aku? Aku tilik wajah sendiri pada cermin. Mak andam pun berpuas hati dengan kerjanya.
"Cun! Macam artis korea! Cantik pengantin perempuan ni," Mak Zara memujiku.
Aku hanya mampu tersenyum kecil.
"Terima kasih Mak Zara," ucapku dengan ikhlas.
"Ni, Mak Zara nak tanya," soal Mak Zara sesudah siap mengemas alat-alat make-upnya.
"Fin memang tak pernah jumpa dengan pengantin lelaki ke?" Aku tertunduk mendengar persoalan Mak Zara. Lambat-lambat, aku menggeleng.
"Sebab tulah tak ada majlis bertunang. Terus menikahnya, ya?" Sekali lagi persoalan itu aku jawab tanpa bersuara. Aku mengangguk sahaja.
"Kalau macam tu, baguslah. Tak perlulah nak lambat-lambatkan benda yang elok. Kahwin terus! Lepas kahwin, barulah dapat berkenalan dengan suami. Masa tu, tak ada haram-haramnya dah. Boleh get set go!" Usik Mak Zara membuatkan bilik pengantin riuh sahaja.
"Fin, dah boleh keluar dah. Pengantin lelaki dah ada kat luar tu." 
Dadaku berdegup pantas. Lemah lutut ini tatkala ibu menjengah masuk ke kamarku.
'Aku dah nak jadi isteri orang lepas ni? Macam tak percaya je!'
Dengan langkah perlahan, aku menuju ke luar bilik dan duduk pada persinggahan yang disediakan. Menunggu saat diri ini bergelar isteri orang, benar-benar buat hati ini gementar. Lebih-lebih lagi, aku akan bernikah pada orang yang aku tak pernah jumpa dan kenal. Ya Allah! Betul ke apa yang aku buat ni? Sempat tak kalau aku lari dari sini?
"Fin, ibu harap Fin bahagia dengan pilihan ibu nak. Ibu tahu dialah yang terbaik untuk Fin. Sungguh!" Suara ibu kedengaran begitu sayup sekali. Entah dengar entahkan tidak. Aku biarkan suara ibu berlalu begitu saja. Wajahku pula kutunduk saja dari tadi.
"Sah? Sah!" 
Aku tersentak dan kepalaku panggung ke hadapan. Pantas sekali air mataku jatuh ke pipi dan mulutku melopong luas melihat wajah yang terpampang di depanku sekarang.
Gugup...memang aku tengah gugup. Seraut wajah itu kini kembali menghantuiku dan sekarang bukan jadi bayangan semata-mata.
Lelaki itu mendekatkan bibirnya pada telingaku. Dadaku bergetar hebat. Perasaanku bercelaru sekarang.
"Aku takkan pernah lepaskan kau begitu saja. Kau tahukan janji aku dulu?" Ujarnya sinis. Bibirnya menjauh dan dia menguntum senyuman penuh makna. Aku menelan liur. Kelat!
"Selamat menjadi pengantin buat Zuhairil Zainurdin, Puan Erfina Alya," Ucapnya bersama senyuman di bibir. Mataku terbuntang luas. Tidak kusangka, dialah lelaki yang dijodohkanoleh ibu untukku.

bersambung...

No comments:

Post a Comment